July 12, 2010

WAKTU ANTARA MUSIM TANAMAN.

Penanaman satu musim cili kebiasaan memakan masa 3 ke 3 1/2 bulan selepas cili pertama menjadi merah dan sesuai untuk dipetik.Atau dengan kata lain waktu menuai cili adalah selama waktu tersebut sehingga pokok cili menjadi tidak produktif untuk berbuah di hujung musim yang mana pokok cili hanya akan mengeluarkan buah yang kurang berkualiti standardnya.Malah pokok yang agak bermasalah penyakit mungkin makin menjadi parah sakitnya.Waktu ini hasil akan menjadi semakin berkurangan dan kadar untung per kos baja dan racun akan menjadi kecil.Sampai masanya pokok cili ditukar atau memulakan musim penanaman yang baru.

Sebelum memulakan musim tanaman baru banyak perkara perlu dilakukan untuk mendapatkan keadaan asal ladang atau paling tepat keadaan sebelum sesuai melakukan pemindahan anak pokok dilakukan kembali.Media tanaman sudah pasti perlu dilakukan rawatan bagi mengelak atau membunuh bakteria penyakit yang ada di polibeg tanaman sebelum ini.Sisa baja pada kepekatan yang tinggi perlu dihilangkan atau dikurangkan.Paling tidak akar pokok sebelum ini perlulah dibuang atau dikurangkan untuk mengurangkan risiko serangan penyakit yang sama berulang.Ada pengusaha yang akan terus menukarkan media tanaman dengan yang baru untuk mengelak perkara ini berlaku.Ini adalah cara yang memakan kos namun paling selamat.Media yang lama dikumpul dan dirawat terlebih dulu tetapi tidak digunakan terus untuk musim berikutnya.Ianya akan dibiarkan untuk satu musim tanaman atau dalam tempoh waktu tertentu selepas rawatan telah betul betul dijalankan.Media dibasuh dengan air sehingga sisa baja hilang dan dirawat dengan racun kulat.Basuh kembali dengan air dan dikeringkan.Ianya sedia untuk digunakan kembali pada musim tanaman berikutnya.Walaubagaimanapun ianya hanya sesuai di'recycle'kan dan digunakan kembali hanya untuk 2 atau 3 musim tanaman sahaja kerana selepas tempoh tersebut, rawatan menjadi agak tidak praktikal kerana sisa baja dan bakteria susah untuk dihilangkan selain keupayaan media tersebut memegang baja merosot.

Selain rawatan media tanaman, maintenance untuk tapak ladang seperti membaiki atau menukar sedikit bahagian silvershine yang koyak perlu dilakukan.Pancang pengikat tali untuk pokok perlu dibetulkan kembali jika semasa menghapuskan pokok lama terdapat kerosakan.Stok racun serangga dan kulat untuk musim berikutnya perlu disemak jika terdapat keperluan mendapatkan stok yang baru.Membeli jenis atau bahan aktif racun yang berlainan kerana berkemungkinan keadaan persekitaran ladang sudah berubah sejak penanaman musim lalu.Serangga perosak mungkin menjadi imun dengan racun yang telah digunakan walaupun penggunaan selang seli diamalkan sebelum ini.

Yang lebih penting adalah mendapatkan 'semangat' seperti membuka ladang baru kembali.Mengatur stategi dan perancangan yang lebih baik untuk musim berikutnya,tidak mengulang kesilapan musim lama dan 'improve' berterusan.Target output per musim tentunya lebih tinggi dari musim sebelumnya.

                                                                Gambar hiasan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP